Kontroversi Tokyo 2020 Paralympic Games

Kemalangan kenderaan tanpa pemandu Toyota

Atlet judo Jepun yang mempunyai kecacatan penglihatan, Aramitsu Kitazono, telah dilanggar oleh kenderaan tanpa pemandu e-Pallete yang dicipta oleh Toyota pada 26 Ogos 2021 di Kampung Paralimpik.[19] Kemalangan ini telah menyebabkan beliau cedera pada kepala dan kakinya dan terpaksa untuk menarik diri daripada pertandingan peringkat penyingkiran 16 bagi acara 81kg lelaki.[20] Pihak Toyota telah menangguhkan projek tersebut pada 27 Ogos dan Ketua Eksekutif Syarikat Toyota telah meminta maaf dalam sebuah video Youtube yang dimuat naik,[21] namun projek tersebut telah dimulakan semula pada 1 September 2021.[22]

Acara lontar peluru lelaki F20

Pada 31 Ogos 2021, atlet Malaysia, Muhammad Ziyad Zolkefli, telah memenangi pingat emas dalam acara lontar peluru lelaki F20 dengan memecahkan rekod dunia yang juga dicipta olehnya.[23] Namun, keputusan beliau telah dibatalkan oleh pihak penganjur setelah atlet Ukraine memprotes bahawa Ziyad dan dua atlet yang lain lewat masuk ke call room (bilik panggilan) sebelum pertandingan dimulakan, dan pingat tersebut akhirnya diberikan kepada Maksym Koval dari Ukraine.[24][25] Pasukan Malaysia telah membuat rayuan sebanyak dua kali kepada World Para Athletics (WPA) dan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) tetapi gagal.[26][27] Majlis Paralimpik Malaysia telah mengatakan bahawa mereka akan terus memperjuangkan keputusan pembatalan pingat emas Ziyad dengan mengumpulkan bukti seperti salinan CCTV dan membuat bantahan rasmi kepada IPC dan WPA selepas Sukan Paralimpik 2020 tamat.[28]